Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi
suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan
aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternilai
bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat
dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan
dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum
muslimin dan muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah
yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah
ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.
Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh
terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah
meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian
yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah
Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi
di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama
memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T
Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan
dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar
Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan
seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang
cukup kental dan tabah.
Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan
orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya
keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada
peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara
sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat,
berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan
keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.
Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab
mengetahui keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke
atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya
meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi
Muhammad S.A.W.
Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama
Islam sebelum keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau
mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan
tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu
dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong
Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya
memeluk Islam.
Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam
dan kaum muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan
harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam.
Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak
terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa
Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan
jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.
Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi
panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup
dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan
cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari
tuannya.
"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat
kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita
dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian
berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah
rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di
setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi.
Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.
Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian
dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh
tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri
dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah
perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.
Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah.
Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali
dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah
S.W.T. dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi.
Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.
No comments:
Post a Comment